HASRAT jaguh pecut negara, Anuar Manan yang mewakili pasukan Azad Universiti untuk merampas Jersi Hijau (raja pecut) daripada Mehdi Shorabi pada saingan hari keenam Jelajah Malaysia (JM) 2009 yang diungguli pelumba Aisan Racing Team, Taiji Nishitani, tidak kesampaian.
Kemenangan itu terpaksa dilucutkan apabila pasukan benua negara, Le Tua membuat bantahan kepada Presiden Komisar, Andy Leong, bahawa kemenangan di zon pecut kedua yang berlangsung di Maran, seharusnya milik pelumba pasukannya, Samai.
Insiden berkenaan berlaku di zon pecut kedua apabila komisar mendapati Samai bertindak menyiku Anuar lalu melucutkan kemenangan Samai dan membolehkan Anuar yang ketika itu berada di tempat kedua untuk meraih lima mata sebagai juara, sekali gus mengatasi Sohrabi untuk merampas jersi berkenaan.
Selepas bermesyuarat selama 1 setengah jam, komisar menerima bantahan berkenaan dengan Sohrabi kekal menyarung Jersi Hijau selain terus kekal memakai Jersi Kuning.
Namun Anuar yang muncul pemenang peringkat keempat dan lima itu menyifatkan perkara berkenaan adalah perkara biasa yang berlaku dalam perlumbaan terutama di kalangan pelumba pecut.
Begitupun Anuar tetap yakin untuk melakarkan hatrik dan bergelar raja pecut edisi 2009 ini mampu dilaksanakan hari ini pada perlumbaan yang akan berlangsung dari Tanjung Malim ke Genting Highlands serta peringkat kelapan, Kriterium Kuala Lumpur, esok.
“Saya yakin mampu merampas Jersi Hijau. Saya berusaha berhabis-habisan mengumpul mata di zon pecut yang ditawarkan sementara urusan pendakian akan saya serahkan kepada rakan pasukan saya,” katanya.
Sementara itu, Nishitani yang mengungguli saingan sejauh 134km dari Kuantan ke Bera berkata, kemenangan itu cukup menggembirakannya kerana dapat menghadiahkan kemenangan berkenaan buat koordinator pasukan, Nana Watarai yang menyambut ulang tahun kelahirannya, semalam.
Ianya juga kemenangan pertama buat Nishitani sekali gus menghapuskan badi di tempat kedua yang sebelum ini langsung tidak pernah muncul juara peringkat di mana-mana perlumbaan.
“Saya sangat gembira. Sebelum ini saya hanya berada di tempat kedua tapi kali ini saya berjaya muncul juara,” katanya yang empat kali berada di tempat kedua ketika bersaing di Jelajah Taiwan, bulan lalu.
Nishitani mula bertindak berani membuat pemecahan ketika saingan berbaki 5 kilometer terakhir hingga kekal ke garisan penamat dengan catatan, 2 jam 52 minit 3 saat.
Source from:
Aida Adilah Mat
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Arena/20090425100838/Article/index_html
Mister Wong
Digg
Del.icio.us
Slashdot
Furl
Yahoo
Technorati
Newsvine
Googlize this
Blinklist
Facebook
Wikio


