23 APRIL 2009
Kuantan: Pelumba tempatan, Anuar Manan yang mewakili pasukan Azad University meneruskan penguasaan dalam perlumbaan peringkat lima Jelajah Malaysia (JM) 2009 dalam perlumbaan peringkat terpanjang sejauh 199.5 kilometer.
Pelumba yang berasal dari Kuala Ibai, Terengganu itu merupakan pelumba pertama yang tiba di garisan penamat dengan merekodkan 4 jam 49 minit dan 40 saat diikuti dengan pelumba Terengganu Toshiba Bike Labz, Mohd Harrif Salleh dan Sergey Kudentsov dari pasukan Polygon Sweetnice.
"Saya gembira dapat memenangi peringkat hari ini dan berharap esok berpeluang untuk terus menang kerana esok adalah peluang terakhir saya sebelum peringkat pendakian di Genting pada Sabtu ini.
"Pada keseluruhan perlumbaan yang melibatkan perlumbaan terpanjang ini, pasukan saya bekerja bersungguh-sungguh menarik saya untuk ke garisan penamat," kata Anuar.
Perlumbaan peringkat lima hari ini mencabar apabila para pelumba terpaksa berkayuh di laluan pinggiran pantai dan menghadapi rintangan angin dalam perlumbaan terpanjang yang bermula dari Kuala Terengganu ke Kuantan.
Mengenai kategori raja pecut, Anuar yang ketinggalan satu mata di belakang pemenang jersi hijau, Mehdi Sohrabi berkata beliau akan cuba untuk merampas semula jersi itu esok.
Berlainan dengan Mehdi, beliau tidak kisah sama ada jersi raja pecut itu dimenangi oleh beliau mahupun Anuar pada peringkat seterusnya.
"Saya dan Anuar adalah kawan baik dan tidak menjadi masalah bagi saya jika Anuar menang. Ini hanyalah perlumbaan ada yang menang dan kalah," katanya yang menambah dua mata semasa zon pecutan tiga di Chukai dan menjadikannya keseluruhan 17 mata.
Mehdi juga masih memegang jersi kuning selaku pemenang terbaik keseluruhan sehingga peringkat lima hari ini.
Sementara itu seorang lagi pelumba Azad University, Abbas Saeiditanha yang masih menyarung jersi raja bukit berkata perlumbaan yang terpanjang hari ini melibatkan banyak serangan oleh pasukan Trek Marco Polo namun masih dapat ditangkap pasukannya.
Pemenang jersi putih, Suhardi Hassan pula berkata beliau berbangga dengan prestasi pasukannya sehingga har ini dan kesemua mereka akan menyimpan tenaga untuk peringkat perlumbaan esok.
"Kini pesaing terdekat saya untuk kategori pelumba tempatan ialah pelumba dari pasukan saya juga iaitu Wan Mohd Najmee Wan Mohd dan Muhamad Raud Misbah. Saya bagaimanapun tidak risau siapa yang akan menyarung jersi ini sama ada saya mahupun rakan sepasukan," katanya.
Esok, perlumbaan peringkat enam melibatkan jarak perlumbaan sejauh 134km dari Kuantan ke Bera dengan tiga zon pecutan di Sri Jaya, Maran dan Paya Pulai.
Perlumbaan JM 2009 yang dianjurkan oleh Ten Speed Events Sdn Bhd disertai 21 pasukan yang terdiri pasukan kebangsaan Malaysia, Indonesia, Thailand, Malaysia B, LeTua Cycling Team, Terengganu Toshiba-Bike Labz, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jelly Belly Cycling Team (USA), Azad University Continental Team (Iran), Savings & Loan Cycling Team (Australia), Shimano Racing Team (Jepun), Polygon Sweetnice Team (Indonesia), Tabriz Petrochemical Team (Iran), Aisan Racing Team (Jepun), Ride Sport Racing (Australia), Giant Asia Cycling Team (Taiwan), Bridgestone Anchor (Jepun), Trek Marco Polo Cycling Team (China), Doha Team (Qatar), Tinelli Colossi Cycling (New Zealand) dan JazySports Beacon (Filipina).
JM 2009 mempertandingkan lapan peringkat perlumbaan sejauh 1,240km dengan saingan peringkat pertama dari Kuala Selangor ke Ipoh, peringkat dua (Ipoh-Sungai Petani), peringkat tiga (Gerik-Tanah Merah), peringkat empat (Pasir Mas-Kuala Terengganu), peringkat lima (Kuala Terengganu-Kuantan), peringkat enam (Kuantan-Bera), peringkat tujuh (Tanjung Malim-Genting) sebelum menamatkan perlumbaan peringkat lapan iaitu perlumbaan kriterium di Dataran Merdeka.
Mister Wong
Digg
Del.icio.us
Slashdot
Furl
Yahoo
Technorati
Newsvine
Googlize this
Blinklist
Facebook
Wikio


