KUALA LUMPUR: Juara kebangsaan, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi atau lebih dikenali dengan panggilan Bayau bakal menyertai perlumbaan Jelajah Malaysia 2009 selepas berehat selama empat bulan akibat kecederaan lutut.
Selepas memenangi Kejohanan Kebangsaan pada Ogos lepas, Muhammad Fauzan akan menyertai Jelajah Malaysia kali ini dengan menyarung jersi kebangsaan Malaysia sekaligus memikul cabaran selaku pelumba nombor satu kebangsaan.
"Saya baru sahaja memulakan latihan selama seminggu dan secara jujurnya saya tidak meletakkan sebarang sasaran yang tinggi pada Jelajah Malaysia kali ini.
"Biarpun kondisi badan saya tidak berada di tahap yang terbaik lagi, saya bagaimanapun akan melipat gandakan usaha dalam latihan yang tinggal tidak sampai sebulan saja lagi bagi persediaan membantu pasukan kebangsaan untuk mencapai kejuaraan," katanya yang juga baru memulakan pengajian dalam Ijazah Sains Sukan di Universiti Terbuka Malaysia.
Muhammad Fauzan, 23, yang berasal daripada Datuk Keramat, Pulau Pinang itu berkata perlumbaan yang merangkumi lapan peringkat itu adalah sukar dengan para pelumba terpaksa mendaki dua bukit yang tinggi.
"Saya lihat setiap peringkat perlumbaan kali ini adalah jauh-jauh dan saya berharap supaya dapat menamatkan perlumbaan yang saya rasakan sangat mencabar," katanya.
Katanya pasukan seperti Iran, Jelly Belly Cycling Team dari Amerika Syarikat serta Savings & Loan Cycling Team dari Australia adalah antara pasukan yang perlu diperhatikan kerana mempunyai pelumba handalan.
Sementara itu Pengarah Eksekutif Kejohanan Datuk Astaman Abdul Aziz berkata beliau gembira apabila Muhammad Fauzan sudah beransur pulih daripada kecederaan dan dapat memberikan tentangan pada Jelajah Malaysia kali ini.
"Biarpun sudah lama 'berehat', saya yakin Muhammad Fauzan bakal memberikan saingan kepada pelumba lain dan sekaligus mengharumkan nama negara," katanya.
Katanya penampilan semula Muhammad Fauzan diharap dapat memperkuatkan pasukan negara yang juga dibarisi pelumba seperti pemenang jersi terbaik Malaysia iaitu Suhardi Hassan, Mohd Faris Abdul Razak, Muhamad Rauf Nur Misbah, Ahmad Fallanie Ali dan Wan Mohd Najmee Wan Mohd.
Jelajah Malaysia 2009 yang akan bermula 19 hingga 26 April ini dianjurkan oleh Ten Speed Events Sdn Bhd dan diberikan status 2.2 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Perlumbaan sejauh 1240km itu akan memulakan saingan peringkat pertama dari Kuala Selangor ke Ipoh, peringkat dua (Ipoh - Sungai Petani), peringkat tiga (Gerik - Tanah Merah), peringkat empat (Pasir Mas - Kuala Terengganu), peringkat lima (Kuala Terengganu - Kuantan), peringkat enam (Kuantan - Bera), peringkat tujuh (Tanjung Malim - Genting Highlands) sebelum menamatkan perlumbaan peringkat lapan iaitu perlumbaan kriterium di Dataran Merdeka.
Mister Wong
Digg
Del.icio.us
Slashdot
Furl
Yahoo
Technorati
Newsvine
Googlize this
Blinklist
Facebook
Wikio


