KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Malaysia B, Mohd Firdaus Daud akan menjadikan perlumbaan Jelajah Malaysia (JM) 2009 sebagai pentas terakhir buatnya sebelum kembali menjalani latihan di Belgium.
Pelumba yang berasal dari Muar, Johor itu berkata beliau akan bergabung buat kali keempat dengan pasukan kelab Niew Hoop Tielen (NHT) selepas kali terakhir bersama mereka pada tahun lepas.
"Saya harap penyertaan saya di JM 2009 akan dapat membantu menggilapkan kayuhan sebelum menyertai semula pasukan NHT pada 3 Mei ini.
"Perbezaan ketara apabila berpeluang menjalani latihan di Belgiu ialah saya dapat meningkatkan kelajuan dan kemahiran menerusi persekitaran di sana. Bayangkan hampir setiap minggu ada saja perlumbaan basikal yang dapat kami sertai untuk meningkatkan prestasi masing-masing," kata pelumba yang kini sudahpun berusia 26 tahun.
Pasukan Malaysia B akan turut disertai Mohammad Akmal Amrun, Amir Mustafa Rusli, Thum Weng Kin, Sarham Miswan dan Muhammad Zamani Mustarudin yang kini menjalani latihan di bawah jurulatih berpengalaman Ng Joo Ngan.
Anak kepada jaguh lumba basikal Daud Ibrahim yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 1970 dan lima emas dalam Sukan SEAP 1971 itu berkata beliau mensasarkan untuk merampas jersi RTM yang menobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia.
"Laluan JM kali ini dilihat menarik dan agak mencabar bagi kesemua pelumba namun saya yakin dapat mengharunginya dan akan membantu Akmal dan Zamani terutama semasa zon pecutan," katanya.
Beliau berkata pasukan dari Iran, Tabriz Petrochemical Team dan Islamic Azad University Team merupakan antara pasukan yang kuat dan bakal memberikan saingan sengit buat pasukan lain pada perlumbaan kali ini.
Sementara itu Pengarah Eksekutif kejohanan Datuk Astaman Abdul Aziz berkata anak jaguh lumba basikal itu merupakan antara pelumba tempatan yang perlu diawasi oleh pelumba lain.
"Berbekalkan pengalamannya sebelum ini menjalani latihan di luar negara, saya yakin Mohd Firdaus juga mampu membuktikan kehebatannya pada JM kali ini sekaligus mengharumkan nama negara," katanya.
Jelajah Malaysia 2009 kali ini disertai 14 pasukan benua yang mana ini merupakan penyertaan terbesar pasukan benua dalam perlumbaan berstatus 2.2. Perlumbaan JM 2009 dianjurkan oleh Ten Speed Events Sdn Bhd kini berstatus 2.2 akan diadakan bermula 19 hingga 26 April ini.
JM 2009 akan merangkumi perlumbaan sejauh 1,240km dengan memulakan saingan peringkat pertama dari Kuala Selangor ke Ipoh, peringkat dua (Ipoh-Sungai Petani), peringkat tiga (Gerik-Tanah Merah), peringkat empat (Pasir Mas-Kuala Terengganu), peringkat lima (Kuala Terengganu-Kuantan), peringkat enam (Kuantan-Bera), peringkat tujuh (Tanjung Malim-Genting) sebelum menamatkan perlumbaan peringkat lapan iaitu perlumbaan kriterium di Dataran Merdeka.
Mister Wong
Digg
Del.icio.us
Slashdot
Furl
Yahoo
Technorati
Newsvine
Googlize this
Blinklist
Facebook
Wikio


