21 APRIL 2009
TANAH MERAH: Seperti yang dijangka, pelumba dari Iran menguasai peringkat tiga perlumbaan Jelajah Malaysia 2009 hari ini yang melibatkan pendakian dari Gerik ke Tanah Merah.
Pelumba pasukan Azad University Continental, Hossein Nateghi hari ini memenangi peringkat tiga manakala rakan sepasukannya Abbas Saeiditanha menyarung jersi raja bukit.
Hossein, 22, tiba mendahului sekumpulan 33 pelumba lain ke garisa penamat dengan merakamkan 4 jam lima minit dan 30 saat.
"Hari ini pasukan saya bekerja keras untuk menakluki peringkat tiga dan saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini. Saingan menuju ke garisan tamat tadi juga bukan mudah kerana terdapat ramai lagi pelumba pecut yang hebat seperti Mehdi Sohrabi (Tabriz Petrochemical) dan juga Rafai Chtioui (Doha)," katanya.
Bagi Abbas pula, beliau berkata perlumbaan hari ini merupakan salah satu peringkat tersukar dalam JM 2009.
"Jersi ini sangat penting bagi kami pelumba Iran dan saya sangat gembira memenanginya. Saya harap dapat mengekalkannya untuk peringkat seterusnya," katanya.
Peringkat hari ini memberi peluang kepada pakar pendakian apabila mereka berpeluang menunjukkan kehebatan masing-masing dengan tiga zon pendakian iaitu di Lebuhraya Timur-Barat sebelum mendaki ke puncak Bukit Banding yang berketinggian 1,054m dan seterusnya di sempadan Perak/Kelantan.
Pelumba Tabriz Petrochemical, Mehdi Sohrabi menyarung jersi kuning apabila merekodkan 12 jam 41 minit dan 43 saat meninggalkan Rafai dan Abbas yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga keseluruhan dengan perbezaan masa 15 saat dan 19 saat.
"Pelumba lain juga hebat dalam peringkat hari ini yang melibatkan pendakian. Saya hanya bagus semasa melakukan pecutan dan tidak menyangka akan mendapat jersi kuning ini," katanya.
Pelumba dari Iran itu turut mengekalkan jersi hijau sebagai raja pecut dengan mengumpul 15 mata biarpun tidak menambah sebarang tambahan mata semasa dua zon pecutan di Bukit Bunga dan Batu Gajah.
Pemenang jersi pelumba terbaik tempatan pada edisi lepas, Suhardi Hassan dari pasukan kebangsaan Malaysia kembali merampas jersi putih RTM sebagai pelumba terbaik tempatan pada peringkat tiga.
"Saya dan pasukan cuba cari kedudukan terbaik dengan rakan sepasukan, Muhamad Rauf Misbah dapat berada dalam kelompok pertama yang tiba ke garisan penamat. Saya bagaimanapun berada dibelakang sedikit dan berharap dapat mengekalkan masa supaya jarak tidak jauh ketinggalan," katanya.
Biarpun sebelum ini mensasarkan untuk memenangi jersi kuning dalam peringkat tiga ini, Suhardi mengakui agak kecewa kerana beliau sudah berusaha sedaya upaya namun masih ketinggalan di belakang pelumba dari Iran semasa zon pendakian.
Perlumbaan peringkat empat esok bermula dari Pasir Mas ke Kuala Terengganu dengan jarak perlumbaan sejauh 177.5km dengan melalui tiga zon pecutan di Kuala Besut, Penarik dan Wakaf Tengah.
Perlumbaan JM 2009 yang dianjurkan oleh Ten Speed Events Sdn Bhd disertai 21 pasukan yang terdiri pasukan kebangsaan Malaysia, Indonesia, Thailand, Malaysia B, LeTua Cycling Team, Terengganu Toshiba-Bike Labz, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jelly Bell Cycling Team (USA), Azad University Continental Team (Iran), Savings & Loan Cycling Team (Australia), Shimano Racing Team (Jepun), Polygon Sweetnice Team (Indonesia), Tabriz Petrochemical Team (Iran), Aisan Racing Team (Jepun), Ride Sport Racing (Australia), Giant Asia Cycling Team (Taiwan), Bridgestone Anchor (Jepun), Trek Marco Polo Cycling Team (China), Doha Team (Qatar), Tinelli Colossi Cycling (New Zealand) dan JazySports Beacon (Filipina).
JM 2009 mempertandingkan lapan peringkat perlumbaan sejauh 1,240km dengan saingan peringkat pertama dari Kuala Selangor ke Ipoh, peringkat dua (Ipoh-Sungai Petani), peringkat tiga (Gerik-Tanah Merah), peringkat empat (Pasir Mas-Kuala Terengganu), peringkat lima (Kuala Terengganu-Kuantan), peringkat enam (Kuantan-Bera), peringkat
tujuh (Tanjung Malim-Genting) sebelum menamatkan perlumbaan peringkat lapan iaitu perlumbaan kriterium di Dataran Merdeka.
Mister Wong
Digg
Del.icio.us
Slashdot
Furl
Yahoo
Technorati
Newsvine
Googlize this
Blinklist
Facebook
Wikio


